Tuesday, March 9, 2010

KeRaNa TaKdiR -05-

Bunyi bola keranjang dilantun kedengaran jelas. Hubungan yang semakin meruncing menambah perisa terhadap perlawanan ini. Qalish Widylea memang misteri dan ramai yang tidak menyukai kewujudannya. Danish Imran pula rebutan pelajar perempuan yang tergedik-gedik mencuri perhatian lelaki itu. Justeru, perlawanan yang tak seberapa ini nampak berat sebelah. Namun, permainan hendaklah dibuat secara adil.

  Sorakan demi sorakan bergema memenuhi ruang gelanggang. Degupan jantung laju, selaju ayunan langkah membawa bola. Perlawanan sudah berlangsung selama sejam, namun satu jaringan pun masih gagal diperoleh.

 Peluh menitis menuruni cerun pipi. Qalish Widylea gagah beraksi dengan topi merah putih Nike kesayangannya. Ayu?? Dah hilang kena telan dek penampilan boyish nye tu. Laju tangannya merampas bola di tangan Danish Imran dan terus score satu jaringan. Dah takde masa untuk amaran dah.

            Danish Imran mula rasa tercabar. Gadis di hadapannya ini bukan boleh dipandang remeh. Apatah lagi sebelah mata. Pandangannya dipaku kepada gadis misteri di hadapannya ini. Buat seketika, permainan berpihak kepada Qalish Widylea. Mana mungkin dia kalah pada seorang perempuan. Rambut yang terjuntai di dahi disebak ke belakang. Nafas ditarik dalam-dalam bagi menstabilkan denyutan jantung. Tajam mata helangnya memerhatikan langkah Qalish Widylea mencari peluang untuk merampas bola.

  Rampas-merampas dah jadi rutin. Mata sudah setara dan permainan sudah hampir ke penghujung. Qalish Widylea pula sudah semakin rancak menghayun langkah menghalang Danish Imran daripada menjaringkan lebih mata. Wajahnya sudah dibasahi peluh dan sorakan keliling makin kuat dan mula menganggu tumpuannya. Gamat dan riuh. Dalam pada dia cuba untuk menjaringkan mata di saat terakhir itu, Danish Imran merampas bola dan kemenangan menjadi milik jejaka itu.

            Qalish Widylea menjerit kecewa. Longgar lututnya dek kekalahan pertama itu. Dengan itu, Danish Imran secara rasminya menjadi ahliblacklist Qalish Widylea yang paling top. Number 1 lagi. Tunduk menekur lantai gelanggang. Hanya itu yang mampu dilakukan Qalish Widylea. Kekalahan ini seperti kekalahan total. Dia nampak lemah di mata Danish Imran.
 ' Tidak!! Aku tak boleh lemah!!!' keluh hati kecilnya.

            Langkah diatur perlahan meninggalkan lantai gelanggang. Terdengar-dengar suara-suara sinis memerlinya dan mengutuknya. Namun semua tu tak jadi kudis bagi Qalish Widylea. Puas Nazhatul Balqish memanggil-manggil Qalish Widylea, namun tak nampak tanda yang gadis itu akan berhenti. Berlari-lari anak Nazhatul Balqish bagi menyaingi langkah besar Qalish Widylea.

  "Que, kau janganla macam ni. Aku tahu kau kecewa. Tapi try to take this as a challenge. Jangan putus asa,ok?"
 "Aku dah kalah, Naz! Kau tak nampak senyum sinis dia tu? Aku benci dia,Naz!! Aku benci!!"
Tersentak Nazhatul Balqish dek jeritan Qalish Widylea. Macam nak tercabut dah jantung rasa. Terdetik rasa kasihan di kalbunya untuk gadis yang bernama Qalish Widylea. dia tahu, gadis itu ada sesuatu yang disembunyikannya. Jauh dari pengetahuan sesiapa..

 "Best man always win, Que.." Suara Danish Imran terdengar di telinganya. Halus namun sinis. Dengan senyuman menyindirnya, Danish Imran mengenyit mata dan berlalu. Qalish Widylea geram, lalu membaling bola di tangannya tepat mengenai lampu jalan. bunyi pecah berderai itu menyebabkan suasana yang bising tadi jadi senyap. Kalau bunyi jarum jatuh ke lantai pun boleh dengar. Dengan langkah longlai, dia berlalu.

Monday, March 8, 2010

KeRaNa TaKdiR -04-

Nazhatul Balqish menggeleng-geleng kepalanya melihat Qalish Widylea ke hulur ke hilir..Mundar-mandir dengan butir bicara yang dia sendiri tidak faham. Entah mengapa, dia terasa rapat dengan gadis itu. Lantaklah macam mana pun perangai si Qalish Widylea ni. Janji tak jahat, boleh dibuat kawan. Bagi Nazhatul Balqish, dia bersyukur. Qalish Widylea tak adalah seperti anggapan ramai teman-temannya. Semuanya menyimpang jauh.

             Fikirannya yang melayang tadi tercampak semula ke alam nyata apabila Qalish Widylea tiba-tiba mendengus kasar. Kuat.

             "Ni yang aku tak puas hati ni!!! Aku dah tak tahan dah dengan perangai mamat sial tu!" kini, Qalish Widylea menggenggam penumbuk.

             "Kau ni kenapa Que? Aku tak faham la."
 "Si Danish Imran tulah. Jangan pandang rendah kat akulah. Dia tak kenal lagi siapa aku ni!!"
 "Apahal plak kali ni?" tanya Nazhatul Balqish.

            Qalish Widylea tidak menjawab, tetapi memandang ke satu arah dengan pandangan yang maha tajam. Tertarik, Nazhatul Balqish turut menoleh. Terpampang di matanya jejaka yang amat dibenci Qalish Widylea, Danish Imran.

             "Petang ni kat court. Jangan buat-buat lupa plak...Kalau tak datang, confirm kau ni pengecut. Luar je kuat, dalam lembik..Perempuan lah katakan....." Danish Imran gelak kasar. Bergema tawanya di pinggir padang yang agak sunyi itu.

             Qalish Widylea cuma mampu mendengus kasar. Berombak-ombak dadanya tanda kesabarannya memang teruji apabila berhadapan dengan lelaki ini. Suka benar jejaka itu mengganggu sekelumit ketenangan miliknya.

  'Kesabaran masih milik engkau. Jangan sampai nanti aku hilang sabar, nahas kau aku kerjakan' Kata-kata itu cuma terluah di dalam hati. tersekat di kerongkong, tak terkeluar patah bicaranya.

            Lengan Nazhatul Balqish ditarik, sebagai tanda mengajak gadis itu beredar dari situ. lebih lama dia menghadap Danish Imran, lebih menggelegak jiwanya.

             "Kau jangan lupa, pengecut!" Jeritan itu bergema di kejauhan, sayup-sayup di pendengaran Qalish Widylea, namun masih dapat ditangkap bait-baitnya.

Saturday, March 6, 2010

KeRaNa TaKdiR -03-

Sekuntum ros putih itu diletakkan dalam gelas kaca yang terletak di sisi katilnya. Dicium bau harum ros itu dalam-dalam. Lantas diambilnya sebuah diari berwarna putih gading dalam laci meja sisi. Dibuka halaman terakhir yang ditulis beberapa hari lalu. Dibaca sepintas lalu, dan ditulis bait-bait baru di muka surat seterusnya.

Terduduk aku disudut kamar yang berdebu
Berselimut hangat dengan karma yang menyeksa
Tak kuasa berpaling tuk menghindar
Derita terus mendera, menempa, menindih dari segala arah
Tak ingin kusesali
Namun wajar sakit ini meminta sedikit air mata
Hingga hampir kering jelaga rasa pelipur jiwa
Ragaku teguh namun tidak jiwaku
Namamu kuucap,tapi sakit yang kurasa
Dari pecah rongga bibir berdarah
Kenapa kau benci aku,
berucap pun ku hanya bisa tuk bertanya
Semua bicara tentangmu aku simpan rapi
Dalam sepi jiwaku
Dalam hangat tangisku…

Qalish Widylea Zafrul Effendi
3 Februari 2007,11 25 pm.

Qalish Widylea mengeluh. Mengelap titis-titis air mata yang berguguran jatuh. Dia kalah lagi. Kalah dengan rasanya yang satu itu. Dia menapak ke keluar. Menuju ke bilik salah seorang kakaknya, Qamelia Balqis. Bunyi bising-bising orang menjerit membuatkan dia terpanggil untuk ke bilik kakaknya itu.
“Kak Qamy..” panggil Qalish Widylea sambil membuka pintu. Serentak itu, kepalanya dicium sebiji pasu kecil yang melayang dibaling Qamelia Balqis.
“Aduh…” jerit Qalish Widylea. Dia kemudiannya berteriak memanggil Mak Esah yang berada di tingkat bawah. Entah dengar atau tidak orang tua itu. Dalam pada itu, dia segera menangkap tangan Qamelia Balqis dari terus membaling barang-barang yang ada di situ.
“Aku benci kau!!! Aku benci!! Keluar!!Keluar!!” jerit Qamelia Balqis.
‘Penyakitnya datang lagi..’ terkilas kenyataan itu dalam hatinya.
Lantas dipeluk erat Qamelia Balqis yang sedang meracau itu. Meronta-ronta Qamelia Balqis apabila tubuhnya dikunci begitu. Mak Esah datang terkocoh-kocoh bila dia seakan-akan terdengar suara Qalish Widylea menjerit memanggilnya tadi. Qamelia Balqis masih terjerit-jerit. Qalish Widylea pula masih menenangkan kakaknya.
“ Kak Qamy.. Please..It’s me.. it’s me, Leya..” Qalish Widylea terus memujuk Qamelia Balqis yang masih meronta-ronta. Beberapa ketika kemudian barulah Qamelia Balqis berhenti meronta. Teresak-esak Qalish Widylea menangis bila teringat peristiwa hitam yang berlaku beberapa tahun dahulu, yang menyebabkan Qamelia Balqis jadi begini. Qamelia Balqis mencapai tangan Qalish Widylea dan dicium bertalu-talu.
“Sayang Leya…Kak Qamy sayang Leya.. Jangan tinggalkan Kak Qamy ye??” Tangan halus Qamelia Balqis mencapai sikat berus berwana hitam dengan ukiran bunga di tangkainya. Sikat itu sangat cantik. Terpesona Qalish Widylea saat pertama kali melihat sikat itu. Qamelia Balqis menyisir rambut pendek Qalish Widylea yang hitam berkilat itu perlahan-lahan.
“Rambut Leya cantik.. Macam Barbie doll..”
“Kak Qamy, esok kita ke hospital ye?” ajak Qalish Widylea.
“Tak nak!! Aku tak nak! Tak nak!!!!” Qamelia Balqis tiba-tiba mengamuk dan mencampak apa sahaja yang ada di sisinya bila mendengar Qalish Widylea mengajaknya ke hospital.
“Kak Qamy, please. For me? Kak Qamy tak sayang Leya ye?” Qalish Widylea memujuk lagi.
Akhirnya setelah beberapa lama dia memujuk, Qamelia Balqis bersetuju setelah disogokkan untuk dibawa ke taman permainan. Sejak peristiwa itu Qamelia Balqis lebih berperangai keanak-anakan. Dia ingin dibelai dan dimanja bagaikan kanak-kanak kecil. Sebelum tidurnya, hendaklah dinyanyikan lagu atau dibacakan cerita-cerita pendek. Peristiwa hitam itu benar-benar mengubah Qamelia Balqis.
*************************************************************************************
Hospital pakar yang terletak di tengah kota itu tak pernah lengang dengan pesakit. Bau ubat begitu kuat menusuk hidung. Qalish Widylea memimpin Qamelia Balqis ke bilik rawatan. Dia terlewat setengah jam dari waktu yang ditetapkan. Ini semua gara-gara Qamelia Balqis yang mengamuk pagi tadi. Wajahnya sendiri luka-luka, cedera terkena penangan Qamelia Balqis.
 Pintu bilik rawatan diketuk perlahan. Melangkah masuk apabila diarahkan. Qamelia Balqis mula resah. Sedikit meronta-ronta. Qalish Widylea cuba memujuk selembut mungkin. Diulang janjinya. Qamelia Balqis dan Qalish Widylea dijemput duduk oleh Dr. Amran, pakar psikiatri yang merawat Qamelia Balqis sejak sekian lama. Qamelia Balqis tersenyum apabila dihulurkan lollipop yang berwarna-warni.
            “How are you today, dear?” Tanya Dr. Amran lembut sambil tersenyum manis bertanya kepada Qamelia Balqis. Qamelia Balqis cuma tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepalanya.
 “Macam mana keadaan dia dua tiga hari ni?” Tanya Dr. Amran kepada Qalish Widylea. Inginkan kepastian dari gadis itu pula.
 “Masih tak menentu, doktor. Kadang-kadang meracau, mengamuk tak tentu pasal. Ni dahi saya luka masa dia baling pasu bunga hiasan kat rumah tu.”
Dr. Amran mengangguk. Kemudian dipanggil Qamelia Balqis ke satu sudut. Dia bercakap-cakap dengan wanita itu. Qalish Widylea hanya memerhati dari jauh. Kepalanya sendiri berdenyut-denyut. Tiba-tiba sakit kepalanya datang menyerang. Mungkin disebabkan oleh penangan pasu bunga yang dibaling kakaknya tadi.

Friday, March 5, 2010

KeRaNa TaKdiR -02-

“ Ish, menyampahnya aku!!! Meluat!” bentak Qalish Widylea sambil menghempas buku yang dipegangnya. Tersentak pelajar lain yang ada di dalam kelas 5 Ixora itu. Nazhatul Balqish datang menghampirinya.
“Kenapa, Que?” tanya gadis itu perlahan. Dalam keadaan takut-takut, dia bertanya. Angin Qalish Widylea tak mampu ditebak.
“ Tak habis-habis nak kacau aku! Aku tak kacau diorang pun. Tak reti buat kerja sendiri ke?” Anginnya masih belum surut. Berombak dadanya menahan marah yang memuncak.
“Apa kau pandang-pandang? Tak reti nak buat hal sendiri? Menyibuk!!” marah Qalish Widylea lagi kepada rakan sekelasnya. Menikus masing-masing sambil cepat-cepat membuat kerja masing-masing. Tak mahu ditengking lagi dengan ‘singa betina’ itu.
“Que..” Panggil Nazhatul Balqish sekali lagi. Qalish Widylea menghela nafasnya kasar. Meninggalkan Nazhatul Balqish terpinga-pinga.
Qalish Widylea membasuh muka. Berharap agar air yang sejuk itu turut sama menyejukkan hatinya yang menggelegak panas. Menarik nafasnya dalam-dalam bagi menenangkan jiwanya yang bergelora. Tak semena-mena, Qalish Widylea menghentak tangannya ke birai singki. Namun sakit yang terasa tak setanding dengan sakit yang dirasakannya dalam hati saat ini.
Kaki yang melangkah terhenti bila jalannya dihalang oleh sekumpulan pelajar lelaki.
“ Phewiit….” Siul salah seorang dari mereka.
Qalish Widylea buat tak tahu. Ingin diteruskan langkah yang terhenti, namun masih dihalang. Dia ke kiri, mereka ke kiri. Dia ke kanan, mereka ke kanan.
‘ Aku terjun bangunan ni karang’ geram benar hatinya bila langkahnya dihalang begitu. Dah lah tadi spesies-spesies ni jugak yang mengacau. Memang nak cari nahas ni. Namun dia masih boleh bersabar. Ditahan dirinya agar tak menghayun tangannya.
“ Dah tak ada kerja lain nak buat ke?” tengking Qalish Widylea.
“Uish, garangnya.. nak tercabut jantung aku ni hah..” kata seorang pelajar lelaki yang bernama Danish Imran diiringi tawa yang galak oleh rakan-rakannya.
“Takut giler…” sambung seorang lagi. Makin galak tawa yang berderai itu.
Qalish Widylea tak mampu lagi bersabar. Nyata, dia orangnya yang panas baran. Lantas penumbuk sulungnya hinggap di wajah kacak Danish Imran. Terkedu jejaka tersebut seketika. Yang lain, terus bertempiaran lari. Langsung tidak disangka yang gadis itu berani menghayun penumbuknya.
‘Puas hati aku.’ Bisik Qalish Widylea dalam hatinya sendiri. Melangkah terus meninggalkan Danish Imran yang terlongo. Terkejut benar agaknya lelaki itu.
‘Tak padan langsung dengan status budak baru, ada hati nak kacau aku. Memang dia tak kenal lagi aku ni sape agaknya.’ Bisik hati Qalish Widylea.
Qalish Widylea menapak semula ke kelasnya, memandangkan mata pelajaran Matematik Tambahan hampir bermula. Tanpa sedar, setiap langkahnya diperhati tajam oleh Danish Imran. Bagaikan mata helang yang sedang memerhatikan mangsanya.


KeRaNa TaKdiR -01-

Langkahnya keras sekali. Tiada tanda-tanda kewanitaan langsung. Meski usianya sudahpun 17 tahun, ciri-ciri wanita tiada dalam dirinya. Terperosok jauh ke dalam sanubari yang terluka. Kalau bukan kerana dadanya yang sedikit menonjol itu, mungkin tiada siapa yang menyangka,gadis rupanya pemilik tubuh itu. Rambutnya dipotong pendek persis lelaki. Pakaiannya serba longgar, dan lebih mirip kelelakian. T- Shirt,kemeja dan jeans yang memenuhi almari pakaiannya. Pakaian perempuan yang ada hanyalah beberapa pasang baju kurung. Qalish Widylea.. nama yang cantik bagi sesiapa yang mendengar. Mesti terbayang gadis yang lemah lembut, sopan, cantik mata memandang. Namun jika berjumpa dengan pemiliknya, pasti ramai yang geleng kepala.
            Qalish Widylea berlari menuruni anak tangga. Nyaris tersungkur dek langkah yang laju itu. Mak Esah yang memandang hanya geleng kepala. Hampir 25 tahun tugasnya di rumah itu sudah membuatkan dia masak benar dengan perangai anak perempuan kepada Datuk Zafrul Effendi dan Datin Marlia.
 Dia dapat mengagak arah tuju anak majikannya itu bila melihat cara dia berpakaian. Dengan sweater berwarna kelabu, dan tracksuit, pasti gadis itu akan ke taman dan berjoging seperti selalu. Qalish Widylea gadis yang pandai menguruskan diri. Dia tidak banyak kerenah. Meskipunya adik beradik yang lain, Qalish Widylea lebih gemar menyepikan diri. Duduk berjam-jam lamanya dalam kamar beradunya. Rumah banglo itu terlalu besar buat Qalish Widylea. Yang tinggal di situ cuma Qalish Widylea, kakaknya, Qamelia Balqis,dan dia serta suaminya sebagai pembantu di rumah itu. Dulu khidmatnya sebagai orang gaji, tapi kini tidak lagi. Kerana kasihankan anak gadis itu yang merayu, dia terus duduk di rumah itu. Tak mengharapkan bayaran, kerana anak-anaknya lebih dari mampu untuk menyara hidup mereka suami isteri.
Qalish Widylea sudah banyak berubah. Sekurang-kurangnya, dulu kecoh juga mulutnya bercerita. Dia membawa hati selepas bertengkar dengan papanya. Dia cuba menegur sikap papanya yang telah melewati batas perlakuan sebagai seorang muslim. Kelakuan Datuk Zafrul Effendi yang selalu mabuk setiap kali menjejakkan kaki ke rumah menimbulkan rasa tanggungjawab dalam hati gadis itu untuk menegur. Perlakuan tidak senonoh papa mereka dengan perempuan cantik yang sering diusung ke rumah amat menjelakkan. Wanita yang dibawa pulang juga silih berganti. Namun, yang paling lama berdampingan dengan papa mereka ialah Alynn. Dengan tahi lalat di pinggir bibirnya menambahkan seri wajah yang dimilikinya. Alynn menggunakan aset kecantikan yang dimilikinya untuk menakluk hati Datuk Zafrul Effendi..Alynn, seorang model yang semakin memuncak naik popularitinya. Pertengkaran antara Datuk Zafrul Effendi dengan Qalish Widylea membuatkan gadis itu bertambah terluka,menambahkan nanah yang sebati dalam hatinya. Apatah lagi, dia sering dijadikan kambing hitam dalam keluarga itu. Dia dipersalahkan atas semua kejadian yang menimpa keluarga mereka. Kekecewaannya jadi parah. Dia yang rapat dengan Qalish Widylea terasa kehilangan.Gadis itu menjadi pendiam, dan rahsia hati gadis itu tiada siapa yang tahu.
Lamunan Mak Esah berkecai menjadi cebisan-cebisan kecil apabila bahunya disentuh Qalish Widylea. “ Termenung apa tu,bu? Jauh sangat nampaknya. Macam dah ke negara Jepun..” Qalish Widylea bertanya.Tanpa menunggu jawapan dari Mak Esah, Qalish Widylea pantas duduk di meja makan enam kerusi itu. Mengambil sekeping roti bakar dan mengunyahnya perlahan. Meski gadis itu cuba mengukir secalit senyuman, namun hambarnya tetap dapat ditebak. Semalam, Qayyum Iskandar datang lagi. Menambahkan carik luka di hati gadis itu. Tiada lain, pulangnya hanya untuk meminta duit.
‘Terkena badi Datuk Zafrul agaknya,perempuan tak pernah lekang dari sisinya.’ Hati tua Mak Esah berbisik.
“ Ibu..” panggil Qalish Widylea perlahan menyentakkan Mak Esah dari lamunannya.
Mak Esah duduk di samping gadis itu di meja makan.
“Kenapa Leya? Ada masalah ke?” tanya Mak Esah prihatin. Matanya dapat menangkap keluhan yang lahir dari bibir anak gadis itu.
“Leya tak cukup duit nak bayar gaji ibu dengan ayah bulan ni. Leya minta maaf.. Cuma banyak ni yang ada. Duit yang sepatutnya Leya bagi pada ibu, Abang Is dah ambil separuh..” Katanya sambil menghulurkan dua sampul berwarna coklat.
“Leya janji, bila ada duit nanti Leya akan bayar yang selebihnya..” Keluhnya sekali lagi. Mak Esah tersentak.
“Leya.. Ibu dah anggap Leya macam anak ibu sendiri. Ibu tak kisah pasal duit ni. Ayah pun sama. Ibu pasti.. lagipun Haeqal ada bagi ibu duit.. Leya tak payah la susah-susah. Mana nak kerja lagi, nak belajar lagi. Ibu tak kisah..”
“ Tapi bu, Leya wajib bayar duit gaji ibu.. Leya dah tak boleh nak harapkan Kak Long. Dia kan dah kahwin. Suami dia pun tak bagi dia datang jumpa Leya lagi. Nak harapkan Abang Is, lagi lah tak boleh, yang dia tahu, datang sini mintak duit. Kak Qamy pun ibu tahu kan keadaan dia. Nak bayar kos rawatan dia lagi. Leya kena juga kerja, kalau tak, nanti nak makan apa, bu?”
“Haeqal kan dah cakap, biar dia yang tanggung semuanya. Tugas Leya, belajar.”
Qalish Widylea segera bangkit dan menyusun langkah ke pintu.
“Leya nak pergi joging dulu, bu.. Assalamualaikum...” Setiap kali persoalan ini diutarakan, Qalish Widylea pasti mengelak.